fb fb fb fb fb

Casemiro pengubat duka Ten Hag, sah sertai Manchester United

LONDON, 20 Ogos- Manchester United sah mendapatkan khidmat pemain tengah Real Madrid, Casemiro dengan perjanjian bernilai sehingga £60 juta pound (RM268 juta).

Pengurus United, Erik ten Hag dalam situasi terdesak mendapatkan pemain tengah pertahanan sejak mengambil alih di Old Trafford dan akhirnya bersetuju dengan Casemiro selepas gagal mendapatkan pemain Barcelona, Frenkie de Jong.

Casemiro telah ditawarkan kontrak empat tahun dengan pilihan lanjutan 12 bulan lagi, dengan perpindahan tertakluk kepada persetujuan terma peribadi.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Real dari Sao Paulo pada 2013 dan telah menjadi tokoh penting di bahagian tengah kelab Sepanyol itu, memenangi lima kejuaraan Liga Juara-Juara.

"Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kelab itu telah mencapai persetujuan dengan Real Madrid untuk perpindahan Casemiro.

"Pemindahan itu tertakluk kepada persetujuan terma peribadi, keperluan visa UK dan perubatan," kata kenyataan daripada United.


(Pemain tengah Real Madrid, Casemiro sahkan perpindahan ke Manchester United/AFP)

Ten Hag enggan membincangkan perpindahan itu pada sidang akhbarnya pada Jumaat, tetapi bos Real, Carlo Ancelotti lebih tegas apabila bercakap kepada media di Sepanyol.

"Saya telah berbincang dengannya pagi ini. Dia mahu mencuba cabaran baharu, peluang baharu," kata Ancelotti.

"Kelab memahaminya. Dengan semua yang dia lakukan untuk kelab ini dan orangnya, kami perlu menghormatinya.

"Jika dia tidak kekal, kami akan mempunyai rasa terima kasih yang besar kepadanya untuk semua yang dia lakukan. Kami mempunyai pengganti dalam skuad."

Real Madrid berkata mereka akan mengadakan "penghormatan dan perpisahan" kepada Casemiro pada hari Isnin yang akan dihadiri oleh presiden kelab, Florentino Perez.

Dalam satu kenyataan, kelab gergasi Sepanyol itu menggelarnya "salah seorang pemain yang paling transendental dalam salah satu tempoh paling penting dan berjaya dalam sejarah kita."

"Real Madrid adalah dan akan sentiasa menjadi rumahnya, dan kami mendoakan semoga dia dan semua keluarganya berjaya dalam babak baharu dalam hidupnya ini," tambahnya.

Kekayaan pengalaman dan kejayaan Casemiro di peringkat tertinggi akan menjadikannya sebagai pemain penting untuk mengemudi jentera perancang selain Fred dan Scott McTominay.

Penampilan pertama Casemiro dijangka ketika bertemu Southampton dalam Liga Perdana Inggeris pada 27 Ogos nanti.

Pasukan The Red Devils memulakan langkah kiri musim ini selepas aksi tewas dan memalukan ketika menentang Brighton dan Brentford baru-baru ini.-AFP

 

Media Baharu