fb fb fb fb fb

SUKMA 2024: Regu lelaki Sarawak catat kemenangan sulung

Foto RTM

BINTULU , 21 Ogos- Pasukan sepak takraw lelaki Sarawak memulakan kempen SUKMA 2024 dengan penuh bergaya, setelah berjaya menewaskan Melaka dalam perlawanan pusingan pertama kategori Regu Lelaki, hari ini.

Aksi berlangsung di Stadium Muhibah menyaksikan pasukan Melaka menunjukkan dominasi dalam set pertama, menewaskan Sarawak dengan keputusan 17-15.

Namun, Sarawak bangkit semula dalam set kedua, memberi tentangan sengit kepada Melaka dan memenangi set tersebut dengan skor 15-6.

Momentum kemenangan Sarawak diteruskan ke set penentuan dengan mereka mengesahkan keputusan 15-8 untuk kemenangan 2-1.

Pasukan Sarawak dianggotai oleh Abang Ajmal Shauqi Abang Mohamad Fauzi (killer), Mohd Nashari Ibrahim (feeder) dan Muhammad Hariz Hipni (tekong).

Melaka pula diwakili oleh Adam Ameerul Khairul Anuar (tekong), Muhammad Raqib Effendi (feeder) dan Muhammad Syakir Jamal (killer).

Kemenangan tersebut meningkatkan moral skuad burung Kenyalang, untuk meneruskan aksi cemerlang mereka dalam kejohanan itu.

Sarawak akan berdepan pasukan Pulau Pinang pada esok bagi aksi seterusnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM