fb fb fb fb fb

SUKMA: Atlet Pulau Pinang peroleh pingat akan diberi ganjaran

Majlis penyerahan bendera tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

BUKIT MERTAJAM, 3 Ogos- Kerajaan Pulau Pinang bakal memberi ganjaran lumayan buat atlet Pulau Pinang yang menyumbang pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata kesemua penyumbang pingat tanpa mengira emas, perak atau gangsa bakal menerima ganjaran daripada kerajaan negeri.

"Sememangnya di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang kita antara negeri yang sentiasa komited untuk memberikan wang ganjaran bukan sahaja kepada atlet yang menyertai SUKMA, tetapi juga di temasya sukan yang berlainan seperti Sukan Para ASEAN dan sebagainya.

"Itupun menjadi komitmen kerajaan negeri Pulau Pinang dan sememangnya sekiranya sasaran kita dapat dicapai, ganjaran yang lumayan menanti atlet-atlet dari Pulau Pinang ini apabila mereka kembali nanti," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pulau Pinang ke SUKMA XXI Sarawak 2024 bertempat di Dewan Besar UITM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.

Majlis penyerahan bendera tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Pulau Pinang mempertaruhkan 606 atlet menerusi 35 jenis sukan dalam misi mencapai sasaran 40 pingat emas.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM