fb fb fb fb fb

Sukma 2024: Nur Afrina Batrisyia cipta rekod baharu

Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal

KUCHING, 21 Ogos - Atlet pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal membuktikan dirinya paling pantas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ini apabila sekali lagi mencipta rekod baharu temasya dalam saingan olahraga menerusi acara 200 meter, pada Selasa.

Dalam saingan akhir yang berlangsung di Stadium Sarawak, menyaksikan Nur Afrina mencipta rekod baharu Sukma selepas menamatkan larian 200 meter dengan catatan masa 23.89 saat untuk pingat emas.

Catatan itu meleburkan rekod lama milik atlet Perak, Noor Eewan Syafiah Mohd Zabri, 24.31 saat dilakukan pada 2016 di Sarawak.

"Saya mengharapkan pingat emas untuk Selangor dan saya juga berjaya memecahkan rekod, apa yang saya dapat ini pun di luar jangka walaupun saya rasa saya boleh," katanya.

Pingat perak menjadi milik atlet Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira.

Manakala Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak berpuas hati dengan pingat gangsa.

Sementara itu, dalam saingan 200 meter lelaki, pingat emas menjadi milik Muhammad Sayyid Amin Roslan dari Pulau Pinang dengan catatan 21.221 saat.

Danish Iftikhar Muhammad Roslee pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila menamatkan saingan 0.004 saat di belakang Muhammad Sayyid.

Manakala Atlet Sabah, Penggiran Aidil Auf Hajam melengkapkan podium dengan pingat gangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN