SEREMBAN, 6 September- Kontinjen Negeri Sembilan menyasarkan kutipan 23 pingat emas dan menghuni sekurang-kurangnya kedudukan kesembilan terbaik dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, antara sukan yang dilihat berpeluang meraih pingat termasuk wushu, olahraga, hoki dan e-sukan.
Sasaran itu sekali gus memperbaiki rekod pada edisi SUKMA Perak 2018 dengan berada di tangga ke-12.
Jelas Aminuddin, persediaan mental atlet cukup penting bagi berdepan persaingan yang bakal ditempuh sepanjang temasya berlangsung.
(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)
"Mereka kena tunjukkan dalam tempoh inilah prestasi sebenar yang mereka boleh buat malah lebih daripada itu jadi kalau mereka mempunyai pendirian begini saya yakin mereka akan dapat keputusan yang lebih baik daripada apa yang mereka rancangkan," katanya.
Kontinjen Negeri Sembilan menghantar seramai 522 atlet dan pegawai, selain menyertai 28 daripada 31 acara yang dipertandingkan.