fb fb fb fb fb

Pencapaian Datuk Azizulhasni, Bonnie diiktiraf

KUALA LUMPUR, 6 September-Jaguh Berbasikal Trek Negara, Datuk Azizulhasni Awang dan atlet Powerlifting Negara, Bonnie Bunyau Gustin dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah 100PLUS Perpaduan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021.

Ini juga adalah gelaran keempat diraih Azizulhasni manakala kali kedua buat Bonnie Bunyau.

Azizulhasni mengenepikan nama besar lain termasuk jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia dan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

Manakala Bonnie Bunyau mengatasi saingan terdekat iaitu atlet lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly dan jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou.


(Bonnie Bunyau diumum sebagai atlet para terbaik)

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Sementara itu Mendiang Datuk Sieh Kok Chi dan Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong diangkat sebagai penerima Anugerah Khas SAM.

Dalam pada itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima dua pengiktirafan dalam majlis Anugerah Perpaduan 100Plus SAM 2020/2021.

Fauzi Marzauki mengungguli Ulasan Berita Terbaik kategori Media Elektronik 2020, manakala Shah Putra Taib Ahmad memenangi Laporan Khas Terbaik kategori Terbuka 2021.

Fauzi menambat hati juri menerusi laporan 'Semangat Keramat S. Suresh' sementara Shah Putra mempertaruhkan laporan 'Sukan Negara di Mata Dunia'.

"Dalam dokumentari ni kita paparkan antara sisi dan penceritaan orang ramai yang tidak tahu, kalau siapa yang ikuti tentang Suresh ini, kehidupan dia sebenarnya pada zaman kecil ada pergolakan keluarga, dari situ kita cuba paparkan kepada masyarakat sebab tidak ramai yang ketahui," katanya.


(Fauzi Marzauki mengungguli Ulasan Berita Terbaik kategori Media Elektronik 2020)

Fauzi dan jurukamera, Abdul Halim Mohd Yusoff membawa pulang membawa pulang RM4,000 sementara Shah Putra memenangi RM3,000.

Majlis gilang-gemilang itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadidque.

Media Baharu