fb fb fb fb fb

SUKMA 2022: 55 pingat emas jadi sasaran kontinjen Johor

ISKANDAR PUTERI, 6 September- Johor menyasarkan 55 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, 16 September ini.

Penambahan sasaran pingat berbanding 40 sebelum ini diumum Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Johor 2022 di Iskandar Puteri.

Kerajaan negeri juga katanya akan mempertimbangkan untuk menambah ganjaran bagi pemenang pingat dalam temasya tersebut.

"Kita kena tengok, motivasi kalau kita mendapat pingat emas, pingat perak, dan juga pingat gangsa, saya akan berbincang bersama Exco untuk kita berikan habuan yang lebih untuk atlet- atlet, jadi motivasi buat mereka," katanya.


(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)

Pada masa ini, insentif yang diberikan antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi pingat emas, perak antara RM1000 hingga RM2,500 dan gangsa, RM750 hingga RM1,500.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Hairi Md Shah berkata, penambahan sasaran pingat itu menjadi tanggungjawab berat, namun tidak mustahil untuk dicapai.

"Hakikatnya, untuk mendapatkan 55 pingat emas tu, tidak mustahil, insyaallah, saya akan memastikan ketua – ketua, timbalan – timbalan ketua kontinjen, akan terus berada di sana untuk memastikan kebajikan, kata – kata peransang kepada atlet akan terus dijaga," ujarnya.


(Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia
Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah)

Kontinjen Johor bakal dibarisi 781 individu terdiri daripada 526 atlet, 165 pegawai dan 90 urus setia.

Antara acara sukan disasarkan menyumbang pingat ialah kanu, olahraga, berbasikal, akuatik, menembak dan bola sepak.

Media Baharu