fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Sasaran pingat dalam sukan golf bukan 'omong kosong'

KUALA LUMPUR, 26 April- Skuad golf negara disifatkan berada dalam landasan tepat bagi memenuhi sasaran pingat perak dan gangsa pada penampilan di Sukan SEA, Hanoi di Vietnam bulan depan.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Anwar Mohd Nor berkata, sasaran pingat terbabit bukan sekadar ‘omong kosong’ untuk ditunaikan tetapi bersandarkan prestasi barisan atlet yang mempamerkan peningkatan ketika sesi latihan.

Antaranya Ervin Chang yang disasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya gangsa dilihat mempunyai peluang cerah kerana mempunyai pengalaman pada dua edisi Sukan SEA sebelum ini bagi membantu pasukan negara.

"Dia berjaya meraih kedudukan keempat pada ketika itu, jadi berbekalkan prestasi sekarang saya berkeyakinan dia boleh menamatkan saingan dalam kedudukan podium," katanya kepada pemberita di sini.

Anwar berkata kem golf negara dalam masa sama akan berlepas awal pada 4 Mei bagi menyesuaikan diri dengan venue pertandingan, sebelum bertanding pada 13 hingga 18 Mei.

Sementara itu, jurulatih negara Shairul Erwin Samsudin meletakkan keyakinan tinggi anak didiknya mampu melunaskan sasaran yang telah ditetapkan.

(Pemain golf negara)

"Kita mempunyai peluang bersaing untuk mendapatkan pingat, jadi saya harap semua pemain mempunyai tahap permainan terbaik sepanjang pertandingan nanti," katanya.

Kem golf negara ke Sukan SEA Vietnam dibarisi atlet lelaki Ervin, K. Rhaasrikanesh, Marcus Lim dan A Nateeshvar sementara wanita membariskan Jeneath Wong, Mirabel Ting dan Ng Jing Xuen.

Sukan SEA Hanoi berlangsung pada 12 hingga 23 Mei.

Media Baharu