fb fb fb fb fb

SUKAN SEA PEKAK 2025: Skuad olahraga sapu 5 emas pada hari pertama

Atlet negara, Muhammad Zamir Azman kuasai acara 100m lelaki

JAKARTA, 22 Ogos - Kontinjen negara buka membuka tirai Sukan Asia Tenggara Pekak (SEA Deaf Games) 2025 dengan cemerlang meraih lima pingat emas dalam acara balapan olahraga di Pusat Latihan Ragunan, Jakarta Selatan.

Emas pertama negara hadir menerusi Azlan Kuste dalam acara 800 meter lelaki, sebelum disusuli kejayaan Muhammad Shahrul Azmer Azman (400m), Muhammad Zamir Azman (100m lelaki), Nur Andrina Zainuddin (100m wanita) serta pasukan 4x100m lelaki Malaysia.

Selain itu, Malaysia turut menambah tiga perak melalui Aidil A. Asyraf Juakim (800m), Hazrul Shah Hamri (100m lelaki) dan Steffy Stacy Lakim (100m wanita), manakala satu gangsa hadir menerusi Muhammad Zumar Azman (100m lelaki).

Azlan yang menghadiahkan emas sulung negara menyifatkan kemenangannya sebagai penghargaan buat keluarga dan rakyat Malaysia.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat emas pertama untuk Malaysia. Terima kasih kepada keluarga dan semua yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Turut mencuri tumpuan, Nur Andrina yang berjaya menebus segala kesukaran sebelum ini dengan kejayaan berganda.

“Saya memang tak boleh tidur malam tadi asyik terfikir tentang perlumbaan ini. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat hadiahkan emas untuk mak ayah saya dan juga Persatuan Sukan Pekak Malaysia,” katanya.

Bagi Muhammad Zamir pula, kemenangan bersama adik-beradiknya dalam acara pecut memberi makna besar menjelang persiapan ke Deaflympic di Jepun, November nanti.

“Ini kali pertama saya dapat emas selepas sebelum ini hanya perak. Saya dan kembar saya sudah berlatih tujuh bulan untuk kejohanan ini, Alhamdulillah berbaloi,” katanya.

Sementara itu, Shahrul yang meraih emas dalam 400 meter sudah meletakkan fokus untuk menghadapi acara lompat berpagar di Deaflympic akan datang.

“Cabaran pasti lebih besar di peringkat dunia. Sasaran saya ialah layak ke final,” jelasnya.

Dengan pungutan awal 5 emas, 3 perak dan 1 gangsa, Malaysia kini menepati sasaran untuk terus menguasai acara olahraga di temasya ini.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI