JAKARTA, 24 Ogos - Malaysia mencapai sasaran 16 pingat emas pada Sukan SEA Pekak 2025 menerusi acara badminton beregu campuran.
Gandingan negara Edmund Teong Seng Keong-Boon Wei Ying berjaya menewaskan wakil tuan rumah Christian Agustinus Abas-Dzakiyya Amalia Ma’aruf straight set 21-7, 26-24
“Memang sangat sengit, terutama pada mata akhir. Tapi kami cuba kekal fokus dan akhirnya berjaya bawa pulang emas buat Malaysia,” kata Edmund selepas perlawanan.
Sementara itu, Wei Ying ketika ditemui RTM menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada atlet pekak negara.
“Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), penaja dan seluruh rakyat Malaysia. Kemenangan ini untuk anda semua. Kami berjanji akan terus berikan yang terbaik buat negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kontijen ke Sukan SEA Pekak 2025, Sarkunan Balakrisnan menyifatkan pencapaian emas ke-16 sebagai detik bersejarah buat skuad pekak negara.
“Ini bukti kerja keras atlet, jurulatih dan semua pihak. Malaysia bukan sahaja mencapai sasaran, malah berpeluang menambah lagi kutipan emas dalam baki acara,” ujarnya.
Skuad negara berpeluang menambah koleksi pingat dalam acara tenpin boling dan catur yang turut berlangsung hari ini.
