JAKARTA, 25 Ogos - Di sebalik deretan pingat yang dikutip kontinjen negara di Sukan SEA Pekak 2025, tersimpan satu cerita besar tentang cabaran komunikasi.
Bagi komuniti pekak, bahasa isyarat adalah nadi utama. Namun ia tidak selalu mudah, ada masa isyarat yang diberi boleh membawa maksud berbeza, hingga mencetus salah faham dalam latihan.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) yang juga jurubahasa isyarat, Mohammad Nazrul Azwa Zulkipply berkongsi pengalaman menguruskan atlet pekak.
“Kadang-kadang kita beritahu berkumpul di satu tempat, tapi mereka faham tempat lain. Salah faham kecil macam itu boleh jadi masalah besar. Jurubahasa kena cepat betulkan,” jelasnya.
Bagi atlet pula, proses memahami arahan jurulatih mengambil masa yang panjang. Pemain tenpin boling pekak kebangsaan, Siw Sing Hie mengakui dia perlukan hampir lima bulan untuk benar-benar menguasai teknik yang diajar.
“Memang mula-mula banyak salah. Teknik tangan pun selalu silap. Tapi jurulatih sabar, dia tunjuk berulang kali sampai saya ikut betul. Sekarang lebih mudah berkomunikasi,” jelas Siw Sing He, atlet tenpin boling pekak negara.
Jurulatih yang membimbing pasukan olahraga pekak negara, Mohd Amiludin Mohd Amin turut berkongsi cabaran sama. Katanya, hampir setiap sesi latihan memerlukan demonstrasi tambahan kerana arahan tidak selalu difahami dengan segera.
“Awal-awal dulu saya kata lompat, tapi ada yang terus lompat dan duduk sekali. Jadi saya kena demonstrasi dulu, baru mereka ikut. Memang 'extra' berbanding atlet biasa, tapi itu yang buat latihan ini unik,” katanya.
Namun, di sebalik cabaran itu, beliau menegaskan semangat atlet pekak tidak pernah goyah.
“Dari segi disiplin, tiada masalah langsung. Mereka 'all out', nak buktikan orang pekak juga boleh buat yang terbaik. Itu yang saya bangga,” katanya lagi.
Hakikatnya, bahasa isyarat yang digunakan juga berbeza antara negara. Atlet Malaysia berlatih menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), tetapi bila bertanding di luar, mereka perlu menyesuaikan diri dengan bahasa isyarat tempatan atau menggunakan American Sign Language (ASL).
Perbezaan itu menambah lagi rencah dalam komunikasi, tetapi tidak sedikitpun melemahkan semangat mereka untuk beraksi.
Keputusan yang diraih di Jakarta membuktikan segala usaha itu berhasil, apabila atlet pekak negara berjaya mengumpul pingat emas, termasuk mencipta rekod baharu temasya.
Meskipun komunikasi kekal menjadi cabaran utama, atlet pekak negara sekali lagi membuktikan bahawa batasan itu tidak menghalang mereka untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
