PARIS, 25 Ogos - Beregu muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King memulakan kempen Kejohanan Badminton Dunia 2025 dengan langkah kanan apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua dalam penampilan sulung mereka di kejohanan berprestij itu.
Dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, pasangan yang kini menghuni ranking ke-22 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan gandingan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura yang berada di ranking ke-34 dunia dengan kemenangan straight set.
Mereka mudah menguasai set pertama dengan kemenangan 21-5.
Walaupun pasangan Jepun itu cuba bangkit pada set kedua, Arif-Roy King kekal tenang dan terus mengekalkan dominasi sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-13.
Kemenangan dalam masa hanya 27 minit itu merupakan pertemuan sulung antara kedua-dua pasangan, sekali gus melayakkan Arif-Roy King ke pusingan kedua.
Mereka bakal menentang gandingan Thailand yang juga beregu ranking ke-12 dunia, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.