KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, tidak mahu tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang bermula hari ini di Paris, Perancis.
Sebaliknya, beliau berazam untuk mencipta kejutan dengan menewaskan pemain pilihan dan melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.
Pemain nombor 25 dunia itu meluahkan rasa teruja apabila bakal menyertai kejohanan itu buat kali pertama dalam kariernya dengan mengakui ini merupakan satu pencapaian besar dan peluang yang amat dihargai.
"Perasaan saya memang seronok kerana ini kali pertama saya menyertai Kejohanan Badminton Dunia. Sasaran saya adalah untuk memberi tumpuan kepada setiap perlawanan, satu demi satu.
"Saya rasa ini merupakan kali pertama saya menyertai kejohanan besar, jadi saya percaya setiap pemain ada peluang masing-masing. Saya hanya perlu membuat persiapan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jun Hao yang berada dalam kedudukan bukan pilihan tidak menganggap perkara itu sebagai kekurangan, sebaliknya melihatnya sebagai peluang untuk mencipta kejutan ke atas lawan yang lebih berpengalaman.
Jun Hao turut berlepas awal ke Denmark bersama jurulatihnya, Kenneth Jonassen bagi memastikan persiapan yang rapi.
Sesi sparring dengan beberapa pemain perseorangan di sana akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sebahagian daripada persiapan akhir menjelang kejohanan tersebut.
Jun Hao akan memulakan kempennya esok dengan menentang Tobias Kuenzi dari Switzerland.
Selain Jun Hao, harapan negara dalam acara perseorangan lelaki turut disandarkan kepada pemain profesional, Lee Zii Jia yang akan menentang pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, pada petang ini.
