fb fb fb fb fb

OCA sahkan persiapan Sukan Musim Sejuk Asia Arab Saudi ikut jadual

Foto REUTERS

HONG KONG, 25 Ogos – Majlis Olimpik Asia (OCA) menegaskan bahawa persiapan Sukan Musim Sejuk Asia 2029 di Arab Saudi mengikut jadual, sekali gus menepis laporan bahawa negara itu berdepan kesukaran menyiapkan kemudahan.

Arab Saudi yang dipilih sebulat suara oleh OCA pada 2022 akan menganjurkan temasya berprestij itu di bandar futuristik NEOM, dengan lokasi utama di kawasan pergunungan Trojena yang bakal menempatkan kompleks sukan musim sejuk sepanjang tahun.

Bagaimanapun, laporan Financial Times minggu lalu mendakwa Arab Saudi mungkin gagal menyiapkan resort ski berkenaan tepat pada waktunya, malah dikatakan mempertimbangkan untuk menangguhkan temasya selama empat tahun.

Terdapat juga spekulasi bahawa Korea Selatan dan China menjadi pilihan alternatif sebagai tuan rumah.

Dalam kenyataan pada Ahad, OCA yang berpangkalan di Kuwait berkata, “Kami gembira dengan kemajuan positif yang ditunjukkan serta yakin kerja-kerja yang dijalankan jawatankuasa penganjur tempatan adalah mengikut jadual. Kami menghargai visi berani Arab Saudi dalam mewujudkan destinasi baharu sukan musim sejuk yang memberi manfaat kepada masa depan sukan Asia.”

Media Korea Selatan sebelum ini melaporkan bahawa Presiden Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Korea (KSOC), Ryu Seung-min, telah ditanya mengenai kesediaan negaranya untuk menjadi tuan rumah sekiranya Arab Saudi tidak dapat menunaikan janji.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, menyatakan sokongan Beijing terhadap Arab Saudi. “Kami menyokong Arab Saudi menganjurkan Sukan Musim Sejuk Asia seterusnya,” katanya pada Jumaat.

Korea Selatan pernah menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, manakala China menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing serta menganjurkan Sukan Musim Sejuk Asia di Harbin pada Februari lalu. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN