(Acara terjun yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi)
HANOI, 10 Mei- Skuad terjun kebangsaan menghampiri sasaran lapan pingat emas selepas gandingan Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya, mengungguli saingan final acara 10 meter (m) platform seirama lelaki Sukan SEA ke-31, yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh di sini, hari ini.
Kejayaan itu ibarat rindu yang terubat buat gandingan negara, selepas berjaya merangkul semula kilauan pingat yang dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, selepas acara itu tidak dipertandingkan pada edisi berikutnya di Filipina.
Pada aksi final itu, Jellson-Hanis Nazirul menamatkan keseluruhan enam terjunan dengan mengumpul 345.93 mata, untuk meninggalkan tiga pesaing lain yang mengambil bahagian.
Pencabar terdekat Jonathan Chan Fan Keng-Max Lee Shien Oon dari Singapura, menang perak apabila mengutip 322.50 mata keseluruhan, sementara gangsa milkk wakil tuan rumah Nguyen Quang Dat-Dang Hoang Tu dengan 251.46 mata.
(Skuad terjun kebangsaan menghampiri sasaran lapan pingat emas)
Kejayaan dilakar gandingan negara itu juga menjadikan pungutan pingat Malaysia setakat ini adalah enam pingat emas, untuk menerajui kedudukan carta negara bertanding.
Esok, kem terjun negara akan meneruskan misi menyapu bersih keseluruhan lapan pingat emas yang dipertandingkan pada temasya sukan dwitahunan itu, dengan Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim akan beraksi dalam acara 3m papan anjal lelaki.
Turut bertanding adalah dua penerjun terbaik negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 10m platform seirama wanita.
-BERNAMA