fb fb fb fb fb

Liga Super: Hatrik Ronald Ngah gagal bantu Kedah kutip tiga mata penuh

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Negeri Sembilan FC lebur selepas seri 3-3 menentang Petaling Jaya (PJ) City FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jaringan hatrik penyerang import Cameroon, Ronald Ngah pada mulanya mengukir kegembiraan buat skuad Sang Kenari bagaimanapun tidak bertahan lama apabila PJ City bangkit menyamakan kedudukan hasil rembatan Khyril Muhymeen pada minit ke-83.

Dalam babak pertama perlawanan, Kedah yang dibimbing jurulatih Aidil Sharin Sahak membuka jaringan seawal minit ke-20 menerusi jaringan Ngah.

Tersentak dengan keadaan itu, giliran PJ City menyamakan kedudukan apabila Darren Lok menjaringkan gol  selang sembilan minit kemudian.

Ngah bagaimanapun kembali meletakkan Kedah di depan dengan menyumbat gol pada minit ke-32.


(Pemain PJ City FC, Khyril Muhymeen ditemu bual media selepas perlawanan menentang KDA FC) 

Bersambung babak kedua, penguasaan Kedah bertambah kukuh apabila Ngah menghadiahkan gol ketiga pasukan pada minit ke-65.

PJ City mula menemui rentak kebangkitan apabila Mahali Jasuli menggandakan jaringan gol pada minit ke-75 sebelum jaringan Khyril mengikat kedudukan 3-3 sehingga wisel penamat ditiup.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC menewaskan Penang FC 3-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol KL dihasilkan menerusi J Parthiban pada minit ke-43 diikuti Romel Morales minit ke-55 dan Zhafri Yahya minit ke-78.

Sementara gol Penang dijaringkan Endrick Dos Santos pada minit ke-80 dan Hilal El Helwe minit ke-87. -BERNAMA

Media Baharu