fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Hoki 5s sumbang pingat emas pertama Malaysia

Skuad hoki negara / Konfederasi Hoki Malaysia

BANGKOK, 10 Disember -Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan SEA Thailand 2025 selepas skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki menewaskan Indonesia 7-3 pada aksi final di Stadium Hoki Royal Thai Air Force (RTAF), hari ini.

Kejayaan itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila edisi kali ini menampilkan acara hoki 5s buat julung kali di temasya dwitahunan tersebut.

Malaysia bermula garang apabila mendahului 3-0 pada babak pertama.

Gol dijaringkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-7, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee minit ke-8 dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran minit ke-14.

Aksi dominan itu bersambung pada separuh masa kedua.

Malaysia menambah empat lagi gol, dua daripadanya hasil sentuhan Akhimullah pada minit ke-17 dan 29, selain jaringan Muhammad Abid dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit terakhir permainan.

Indonesia pula merapatkan kedudukan menerusi jaringan Mochamad Fathur pada minit ke-19 dan dua gol pantas Alfandy Prastyo di minit ke-24.

Ketua jurulatih negara, Wan Roslan Wan Abdul Rahman, nyata gembira dengan kejayaan tersebut, lebih-lebih lagi berjaya menyumbang pingat emas pertama untuk Malaysia.

“Alhamdulillah atas kemenangan ini. Ia merupakan pingat emas pertama untuk Malaysia dan kami bangga dapat menyumbang kepada kontinjen negara.

Saya tekankan kepada pemain supaya cipta sejarah dan hari ini sejarah itu telah tercipta. Saya puji kesungguhan mereka ketika menentang Indonesia,” katanya.

Terdahulu, Malaysia mara ke final selepas membenam Filipina 9-1 pada separuh akhir.

Selain, mempamerkan rekod sempurna pada pusingan round robin dengan kemenangan ke atas Indonesia 4-2, Filipina 18-0 dan Thailand 9-1.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN