fb fb fb fb fb

Sukan Sea Hanoi- Skuad boling sasar satu pingat emas

PETALING JAYA, 22 April - Sekalipun mempertaruhkan pasukan kedua, skuad boling negara mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini.

 

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad berkata sasaran itu dianggap realistik, memandangkan ini pertama kali pasukan kedua tersebut mewakili negara ke temasya dwitahunan itu.

 

“Sekurang-kurangnya satu pingat emas sudah nampak untuk boling, selebihnya kita ikut (keadaan) semasa.

 

“Insya-Allah dengan semangat baharu atlet muda ini, kita berharap mereka mampu mempamerkan permainan yang baik, sekali gus membawa pulang pingat. Namun, saya tidak mahu terlampau memberikan tekanan kepada mereka (atlet),” katanya selepas meninjau sesi latihan skuad boling negara di Sunway Megalane, Sunway Pyramid, pada Khamis.

 

Nur Azmi berkata keputusan menghantar skuad kedua ke temasya berkenaan amat tepat bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka secepat mungkin.

 

“Sebenarnya bagus ada pasukan pelapis (boling) dan ini mungkin persiapan mereka (atlet) untuk pergi ke Sukan Asia serta kejohanan lain. Jadi, ini permulaan untuk kita menghantar atlet muda.

 

“Sebenarnya, tidak kira sama ada mereka ‘senior’ atau ‘junior’, setiap atlet tetap berpeluang untuk menyumbang pingat jika dapat bermain dengan baik,” katanya.

 

Skuad boling negara ke Hanoi dibarisi Shahrukh Amin Zulkifli, Muhammad Hafiz Zainuddin, Muhammad Syazirol Shamsudin dan Nevern Netaneel Marcellinus Petrus bagi pasukan lelaki, manakala skuad wanita diwakili Gillian Lim Siew Giok, Nora Lyana Nastasia Norkamal, T Nerosha Keligit dan Nur Syazwani Sahar.

 

Sukan tersebut menyumbang tujuh pingat iaitu dua emas, tiga perak dan dua gangsa pada edisi lalu di Manila, Filipina.


(Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad meninjau sesi latihan skuad boling negara di Sunway Megalane, Sunway Pyramid)

Media Baharu