fb fb fb fb fb

ACL- Catat keputusan seri, JDT masih unggul di takhta kumpulan I

FOTO- BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 22 April - Biarpun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan pendahulu Liga J1 Kawasaki Frontale, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mendahului Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL), dalam perlawanan sengit di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

 

Keputusan itu menyaksikan JDT mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan, manakala Kawasaki Frontale di tempat kedua dengan lima mata, Ulsan Hyundai yang mengutip empat mata di tempat ketiga manakala Guangzhou FC di tempat terakhir selepas gagal mengutip sebarang mata.

 

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan bagi memburu gol, sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup pengadil.

 

Beberapa siri serangan awal skuad kendalian Toru Oniki hampir menerjah gawang, namun kebanyakannya tersasar.

 

Beberapa peluang mencetak gol hampir dilakar skuad Harimau Selatan pada saat-saat akhir babak pertama oleh pemain pertahanan JDT Leandro Velazquez, namun tendangan jauhnya tidak cukup kuat untuk membolosi pintu gol lawan, manakala rembatan Bergson Da Silva sedikit tersasar ke pintu kanan gol lawan pada minit ke-40.

 

Keputusan kekal 0-0 hingga tamat separuh masa pertama.

 

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol pendahuluan, tetapi percubaan demi percubaan terus menemui jalan buntu.

 

Kawasaki Frontale mengatur langkah dengan mengantikan Daiyan Tono dan Kaazuya Yamamura, dengan Yasuto Wakizaka dan Shintaro Kurumaya, bagi cuba mengubah kedudukan perlawanan.

 

Harimau Selatan pula membuat lima pertukaran pada separuh masa kedua dengan mengeluarkan Velazquez dan membawa masuk Safiq Rahim, Arif Aiman (Safawi Rasid), Afiq Fazail (Nazmi Faiz), Da Silva (Ramadhan Saifullah) dan Fernando Forestieri (Hazwan Bakri).

 

Bagaimanapun percaturan dibuat kedua-dua pasukan itu, gagal menghasilkan sebarang gol sehingga tamat masa perlawanan.


(Pertahanan JDT Matthew Davies (kiri) dicabar pemain Kawasaki Frontale, Joao Schmidt Urbano./BERNAMA)

Media Baharu