KUALA LUMPUR, 23 April - Atlet terjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Temasya ke-31 itu di Hanoi, Vietnam yang dijadual membuka tirainya pada 12 Mei ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata penerjun berusia 22 tahun itu dipilih selepas memperagakan prestasi mengagumkan pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas walaupun terlepas peluang menyumbang pingat untuk negara.
(Nur Dhabitah Sabri/FOTO Facebook Nur Dhabitah)
Terjunannya di Jepun hampir membawa pulang pingat gangsa acara terjun papan anjal 3 meter individu akhir, selepas menduduki tempat keempat dengan 326.15 mata, di belakang juara bertahan Shi Tingmao yang meraih 383.50 mata.
"Atlet muda yang melakar pencapaian membanggakan pada Sukan Olimpik, wajar diangkat sebagai ikon kepada kontinjen negara," katanya.
Tambah beliau, personaliti Nur Dhabitah yang mesra, mudah didekati serta peramah melambangkan semangat kontinjen negara.