fb fb fb fb fb

Sukan SEA Hanoi : Ervin Chang tamatkan kemarau emas 21 tahun golf

VINH YEN, 15 Mei- Ervin Chang menamatkan penantian selama 21 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas golf di Sukan SEA Hanoi.

Kejayaan itu hadir selepas dia mengatasi pemain Indonesia, Amadeus Christian Susanto dalam aksi playoff tiga lubang.

Ervin tenang melakukan birdie di lubang tambahan ketiga di Heron Lake Golf Course and Resort untuk menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara sejak pasukan lelaki dibarisi Airil Rizman Zahari, S. Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin memenanginya dalam acara berpasukan pada 2001 di Kuala Lumpur.

Ervin sebelum itu bangkit daripada ketinggalan dua pukulan pada permulaan saingan dengan merakamkan empat di bawah par 68 bagi menamatkan saingan tujuh di bawah par 209 pukulan dengan Amadeus menyamakan kedudukan bagi mengheret aksi ke playoff.

Pingat gangsa dimenangi pemain Thailand, Weerawish Narkprachar, satu di depan rakan senegara Arsit Areephun and Ratchanon Chantananuwat..

Sementara itu, saingan wanita menyaksikan pemain negara, Jeneath Wong meraih gangsa.

Jeneath mencatatkan 69 untuk menutup aksi tiga hari dengan keseluruhan 211 pukulan, ketinggalan sembilan pukulan di belakang pemenang, Natthakritta Vongtaveelap dari Thailand.

Pemain Singapura, Aloysa Mabuta Margiela Atienza menamatkan saingan di tempat kedua untuk perak dengan catatan 209 pukulan.

 

Media Baharu