KUALA LUMPUR, 3 Mei - Atlet pelapis wushu negara, Mandy Cebelle Chen menyifatkan peluang untuk beraksi di temasya dwitahunan merupakan impiannya sejak kecil.
Sekali gus berpeluang memperagakan kemampuannya di pentas antarabangsa, meskipun berdepan perubahan peraturan pada saat akhir.
"Ini merupakan Sukan SEA pertama saya. Saya berterima kasih kerana diberi peluang menyertai kejohanan ini.
"Meskipun, baru-baru ini peraturan telah diubah pada saat-saat akhir, jadi kami terpaksa mengubah rutin biasa dalam tempoh sebulan, ini termasuk dari segi koreografi," katanya semalam sebelum berlepas ke Vietnam.
Cebelle bertekad tidak mahu mensia-siakan penampilan sulungnya di Sukan SEA selain tidak mahu menjadikan temasya sukan tersebut sekadar tempat menimba pengalaman.
Beliau pernah meraih pingat emas dan perak pada Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-9 yang diadakan di Gumi, Korea Selatan pada 2017.
Manakala dua pingat emas dan satu perak turut diraih pada Kejohanan Dunia Taijiquan 2018 di Bulgaria.