CYBERJAYA, 3 Mei - Malaysia dan Indonesia sedang membida untuk menganjurkan kejohanan Asia Tenggara Liga Profesional PUBG Mobile (PMPL SEA) musim kelima, yang dijadual berlangsung Jun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Yoodo Alliance 4Rivals, Khairul Ridhwan berkata, kelebihan akan memihak kepada pasukan Malaysia yang terdiri daripada empat pasukan yang telah layak bertanding.
Tambah Khairul lagi, pasukan yang sudah mengisi slot ke kejohanan berkenaan melibatkan Juara bertahan, Pasukan Secret; Juara PMPL MYSGPH musim ke-5, Pasukan Yoodo Alliance 4Rivals; Dingoz Esports; dan Farang Lejund.
"Mana-mana pun, pasukan lebih selesa bermain di rumah sendiri, jadi Kuala Lumpur adalah rumah kami, maka kami berharap kejohanan PMPL Sea berlangsung di sini nanti.
"Lagi pun, kelebihan yang ada pada kami adalah peminat yang sudah bersemangat bila kami akan bermain ditempat sendiri. Semangat yang dibawa oleh peminat mendorong untuk kami menang," katanya kepada RTM di sini.
Pasukan Yoodo Alliance 4Rivals menyasarkan untuk muncul juara pada kejohanan berkenaan selepas menduduki tangga ke-4 musim lalu.