KUALA LUMPUR, 19 September - Skuad terjun negara menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 4 pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand, meskipun dibarisi 90 peratus penerjun muda.
Pengarah Teknikal skuad terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee berkata hanya seorang penerjun senior, Muhammad Syafiq Puteh dikekalkan.
Manakala selebihnya merupakan muka baharu yang diberi peluang menimba pengalaman di pentas antarabangsa.
"Memang ada risiko, tetapi kita mahu pelapis ini merasai tekanan pertandingan. Sama seperti Kejohanan Dunia lalu, kita turunkan ramai pelapis kerana tumpuan utama tetap pada Sukan Asia dan Olimpik," katanya.
Selain itu, harapan turut disandarkan kepada penerjun muda Elvis Priestly Anak Clement dan Nurul Farisya Alia Affendi.
Dalam pada itu, Ken Nee menjelaskan Thailand dan Singapura dijangka menjadi pencabar utama apabila temasya kali ini hanya menawarkan empat acara.
"Kami hanya akan berusaha sedaya upaya. Namun yang paling penting adalah untuk melahirkan seramai mungkin penerjun sepanjang Sukan SEA 2027 nanti.
"Bagi tahun 2025 ini, sememangnya kami mempunyai sasaran, tetapi sukan terjun merupakan sukan yang sangat subjektif apa sahaja boleh berlaku. Ia bergantung sepenuhnya kepada prestasi penerjun pada hari pertandingan." jelasnya.
Skuad terjun negara turut akan menyertai dua kejohanan penting sebagai medan pemanas badan sebelum ke Thailand iaitu Kejohanan Asia (Asian Championships) di India minggu depan serta Terbuka Malaysia hujung Oktober ini.
