HUANGZHOU, 19 September- Pasukan ragbi tujuh sebelah lelaki negara bakal memanfaatkan saingan Kejohanan Ragbi 7 sebelah Asia 2025 Siri 1 di Hangzhou, China sebagai medan memperkemaskan corak permainan menjelang Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.
Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man, berkata kejohanan berkenaan dilihat penting memandangkan ia menghimpunkan pasukan terbaik rantau ini sekali gus menjadi ukuran sebenar kepada tahap kemampuan skuad negara.
Jelas Nik Safuan, fokus utama adalah memperkukuh sistem pertahanan selain membina keserasian antara pemain baharu dan berpengalaman.
"Harapan saya untuk Siri 1 ini adalah memperkemaskan pertahanan pasukan sebelum kejohanan utama di Sukan SEA nanti.
"Keserasian antara pemain lama serta baharu juga amat penting bagi memastikan skuad ini mampu muncul antara yang terbaik di Asia Tenggara"Katanya.
Skuad negara yang sudah tiba di Hangzhou semalam turut mengadakan sesi latihan intensif sebagai persiapan akhir.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A dan akan membuka cabaran menentang UAE, sebelum berdepan Uzbekistan, manakala perlawanan terakhir menyaksikan skuad negara bertemu pasukan pilihan, Hong Kong.
Selain menjadi medan persiapan taktikal, kejohanan itu juga platform penting buat pemain muda negara mengutip pengalaman berharga di pentas antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan menjelang cabaran sebenar di Thailand pada Disember nanti.