HANGZHOU, 19 September – Ketua jurulatih skuad ragbi 7 sebelah (7s) wanita negara, Muhammad Faiz Samsukhidir menaruh harapan agar anak buahnya dapat mempamerkan persembahan terbaik pada Kejohanan Ragbi Asia 7s Wanita 2025 di Hangzhou.
Menurut Muhammad Faiz, kejohanan berkenaan bukan sahaja hanya menguji corak permainan pasukan sebaliknya turut melihat keserasian antara pemain baharu serta berpengalaman.
“Jadi, harapan saya kepada semua permain agar dapat memberikan satu persembahan terbaik dan dapat menguji tahap kecergasan dan juga corak permainan yang telah kita rancang bagi memastikan perjalanan kita untuk menghadapi sukan SEA nanti akan berjalan dengan lancar.
"Untuk kejohanan kali ini saya tidak menyasarkan satu sasaran yang tinggi kami cuba untuk mengekalkan kedudukan kami di asia super siries kerana kami lebih fokus untuk sukan SEA nanti” katanya.
Tambahnya, penyertaan dalam kejohanan ini juga menjadi kayu pengukur untuk memperkemaskan lagi kelemahan yang ada sebelum skuad negara mengharungi cabaran sebenar di Bangkok, Disember depan.
Namun, beliau tidak menafikan cabaran getir menanti apabila skuad negara bakal berdepan pasukan handalan seperti China peringkat awal.
Berdasarkan undian, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama China, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
