KUALA LUMPUR, 19 September – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen terhadap tadbir urus yang telus dalam pengagihan Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM30 juta tahun ini.
Dalam satu kenyataan KBS memaklumkan permohonan untuk menganjurkan ACE Malaysia Squash Cup tidak diluluskan kerana acara tersebut dijadualkan selepas tarikh akhir kelayakan, iaitu 31 Oktober 2025, yang ditetapkan bagi semua program GPS tahun ini.
"KBS menjelaskan semua garis panduan termasuk tarikh akhir telah dimaklumkan lebih awal melalui sidang media, laman sesawang rasmi, serta 12 sesi taklimat bersama pemegang taruh", menurut kenyataan berkenaan.
KBS turut menegaskan GPS 2025 hanya meluluskan permohonan daripada badan sukan atau NGO berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
Syarikat swasta kekal sebagai rakan strategik, namun tidak lagi layak memohon secara terus.
Sehingga kini, Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) menerima RM390,000 bagi penganjuran Malaysia Cup 2025, membuktikan sistem GPS dapat diakses dan menyokong organisasi yang mematuhi prosedur.
Selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI, KBS menjelaskan dana kerajaan perlu dibelanjakan dengan integriti tertinggi, selain menggalakkan penganjur membangunkan model pembiayaan yang lebih mampan demi kelestarian penganjuran sukan di Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada 2023, sebanyak RM1.3 juta telah disalurkan untuk pembangunan sukan skuasy melalui skim itu.
