fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Skuad bola tampar pantai wanita negara tumpu persiapan rapi

Pemain bola tampar pantai wanita negara, Tasha Mae/ RTM

SHAH ALAM, 26 November - Persiapan rapi menjadi keutamaan skuad bola tampar pantai wanita negara menjelang saingan Sukan SEA 2025 dengan tumpuan diberikan kepada aspek kesiapsiagaan mental, fizikal dan emosi atlet.

Menurut pemain negara, Tasha Mae, peluang untuk meraih keputusan positif sentiasa ada namun kejayaan bergantung kepada tahap persiapan pasukan dalam tempoh beberapa hari terakhir ini.

"Kejayaan bergantung pada perancangan yang kami lakukan sekarang dan juga bagaimana kami melaksanakannya pada hari pertandingan. Buat masa ini, fokus utama kami ialah memperkemas persiapan dan memberi tumpuan kepada kekuatan mental pasukan," kata beliau selepas lawatan timbalan Chef de Mission (CDM) ke pusat latihan bola tampar pantai di sini, hari ini.

Tasha berkata keadaan gelanggang serta faktor cuaca seperti angin, pasir dan hujan turut memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi pasukan.

Namun, beliau menegaskan apa yang lebih utama ialah kemampuan pasukan untuk memberikan persembahan terbaik dalam apa jua keadaan.

Pada fasa awal persiapan, pasukan negara turut berdepan beberapa cabaran, bagaimanapun komitmen tinggi para pemain membantu mengukuhkan keseluruhan persediaan ke Sukan SEA 2025.

Acara bola tampar pantai bakal berlangsung dalam format berpasukan, membabitkan dua pasangan bagi setiap pasukan, iaitu Pasukan A dan Pasukan B.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN