fb fb fb fb fb

Kemenangan Leverkusen ke atas City disifatkan sebagai 'malam untuk diingati'

Pengurus Bayer Leverkusen, Kasper Hjulmand meraikan kemenangan pasukannya ke atas Manchester City 2-0 pada saingan kumpulan Liga Juara-Juara Eropah/ REUTERS

MANCHESTER, 26 November – Manchester City mengalami kekalahan jarang berlaku di Stadium Etihad apabila pasukan Bundesliga, Bayer Leverkusen mencatat kemenangan mengejut 2-0 pada Selasa.

Ia sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah 23 perlawanan berturut-turut City di laman sendiri dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

Pengurus Leverkusen, Kasper Hjulmand menyifatkan kemenangan itu sebagai 'malam untuk diingati'.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, bukan hanya kemenangan tetapi juga karakter yang ditunjukkan oleh pasukan. Saya amat menghormati pemain-pemain kami. Malam ini adalah malam untuk diingati dan menjadi pendorong kepada pembangunan pasukan kami,” katanya.

Kekalahan itu juga menjejaskan perlawanan ke-100 Pep Guardiola sebagai pengurus City dalam Liga Juara-Juara Eropah dan meletakkan pasukan Liga Perdana itu sementara di kedudukan keenam dengan 10 mata selepas lima perlawanan, manakala Leverkusen kini di kedudukan ke-13.

City sebelum ini tidak tewas di laman sendiri dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah sejak kekalahan mengejut 2-1 kepada Lyon pada September 2018. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN