SAO PAULO, 26 November – Jenama legenda bola sepak Brazil, Pele kini secara rasmi berada di bawah pemilikan syarikat keluarga pemain ternama Brazil, Neymar Jr. selepas NR Sports mengumumkan pembelian hak penggunaan jenama tersebut.
Pengumuman dibuat oleh Neymar Santos Sr. iaitu ayah kepada Neymar Jr. dan pemilik NR Sports, dalam satu majlis khas di Muzium Pele di bandar Santos.
Beliau menyifatkan pengambilalihan itu sebagai satu pencapaian penting bagi membawa semula nilai komersial dan identiti jenama tersebut ke peringkat global.
Walaupun butiran perjanjian tidak didedahkan atas sebab kerahsiaan, laporan media Brazil menyebut nilai pembelian itu dianggarkan sekitar USD18 juta.
Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, dianggap antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman dan membantu Brazil memenangi Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970.
Beliau meninggal dunia pada Disember 2022.
Waris termasuk anak perempuannya Flavia, hadir dalam majlis pengumuman tersebut.
Flavia menyatakan rasa terharu dengan 'kepulangan' jenama ayahnya itu ke Brazil menyifatkannya sebagai simbol kasih sayang dan legasi yang tidak ternilai.
Dalam kenyataan rasmi, NR Sports menyifatkan pembelian itu sebagai satu bentuk 'repatriasi', sekali gus memastikan warisan Pele terus dipelihara, diperkukuh dan diperluas kepada generasi baharu. -AFP