PUTRAJAYA, 26 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mendapatkan perkembangan terkini daripada sekretariat Sukan SEA 2025 susulan bencana banjir yang melanda Songkhla, Thailand, lokasi penganjuran acara sukan tempur.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya enggan mendesak penganjur untuk membuat keputusan segera berhubung venue acara kerana operasi menyelamat masih giat dilaksanakan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/BERNAMA
“Kita perlu memberi Thailand ruang sewajarnya kerana ketika ini tumpuan mereka adalah terhadap kerja-kerja penyelamatan. Tidak wajar untuk kita bertanya mengenai langkah seterusnya pada waktu ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut Hannah, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah berhubung rapat dengan pihak sekretariat di Thailand bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan venue serta sebarang alternatif jika lokasi sedia ada tidak dapat digunakan.
Tambah Hannah, sebarang pindaan termasuk laluan perjalanan dan kaedah pengangkutan atlet akan dibuat sekiranya keadaan memerlukan.
“Jika rancangan asal perlu diubah, kita akan ubah. Yang penting, keselamatan pemain menjadi keutamaan dan mereka dapat tiba di sana dengan selamat,” ujarnya.
Setakat ini, maklumat diterima menunjukkan venue bola sepak merupakan kawasan paling terjejas, manakala Songkhla South kekal sebagai lokasi penganjuran acara sukan tempur.
KBS turut mendapatkan nasihat daripada Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi memantau aspek keselamatan sebelum sebarang delegasi Malaysia berangkat ke Thailand.