KUALA LUMPUR, 29 Sept - Persiapan skuad besbol lelaki negara ke Sukan SEA Thailand 2025 kini memasuki fasa terakhir dengan tumpuan penuh diberikan kepada latihan pusat bermula hujung bulan depan.
Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain mengesahkan hanya pasukan lelaki akan dihantar untuk mewakili negara pada temasya kali ini dengan senarai akhir pemain telah pun dimuktamadkan.
"Pasukan baru sahaja pulang dari Taiwan kira-kira dua minggu lalu selepas menjalani pendedahan antarabangsa menentang pasukan kolej dan kelab di sana.
"Mereka kini lebih bersedia dan akan memasuki latihan pusat sehingga berlepas ke Bangkok pada awal Disember," katanya.
Mengulas mengenai sasaran, Sazali berkata skuad kebangsaan diyakini mampu memberikan saingan dengan sekurang-kurangnya podium menjadi fokus utama.
"Kita perlu realistik kerana kita tahu 'powerhouse' adalah Thailand, Filipina dan Indonesia. Namun, sasaran kita sekurang-kurangnya posisi podium.
"Kita amat yakin dan optimis boleh capai kerana di Clark Manila tahun lalu, kita hampir mengejutkan Indonesia dan peluang kali ini lebih terbuka," katanya.
Tambahnya, pasukan kali ini lebih kukuh dengan kombinasi muka lama dan baharu, termasuk lima pemain muda yang diserapkan berdasarkan prestasi cemerlang serta dua pemain warisan yang kini beraksi di liga amatur Amerika Syarikat.
