KEPALA BATAS, 29 September – Pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn, muncul juara peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang berlangsung dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang sejauh 166.1 kilometer.
Pelumba berusia 31 tahun dari Belanda itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa tiga jam 29 minit 59 saat, sekali gus mengetepikan cabaran pelumba lain termasuk pendahulu semalam, Matteo Malucelli dari pasukan XDS Astana Team yang menamatkan saingan di tempat kedua seta Enrico Zanoncello dari pasukan VF Group BardianiCSF di tempat ketiga.
Malaysia turut mencatat keputusan membanggakan apabila Wan Abdul Rahman Hamdan dari Terengganu Cycling Team menduduki tempat keenam, manakala Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dari Malaysia Pro Cycling menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Bagi pemegang jersi, Matteo Malucelli kekal menyarung dua jersi; hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan 0.02 saat didepan Arvid de Kleijn dan jersi jingga sebagai Raja Pecut. Ben Carman dari Australia pula menguasai jersi polka dot Raja Bukit, manakala Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team menyarung jersi putih selaku pelumba Asia terbaik.
Dalam kategori pasukan, XDS Astana Team mendahului senarai terbaik keseluruhan, manakala Terengganu Cycling Team mengungguli kategori pasukan Asia terbaik.
Esok para pelumba akan meneruskan perlumbaan bagi peringkat ketiga yang akan berlangsung dari Grik, Perak ke Pasir Putih, Kelantan juga merupakan trek kedua terpanjang dalam edisi kali ini dengan jarak kayuhan 198.2 kilo meter.
Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan acara pelepasan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, meskipun dalam keadaan hujan di Padang Besar pagi tadi.
Hujan yang membadai Perlis sejak awal pagi bagaimanapun tidak mematahkan semangat juang para pelumba.
