KUALA LUMPUR, 30 November - Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) optimis pasukan negara mempunyai potensi untuk meraih dua pingat pada temasya sukan SEA Thailand 2025 yang akan membuka tirainya pada 9 Disember ini.
Jelas Presidennya, Datuk Seri Lee Tian Hock, peluang berkenaan hadir selepas pihak tuan rumah tidak membenarkan mana-mana negara menggunakan khimat pemain naturalisasi pada edisi kali ini.
Oleh itu, beliau yakin skuad negara mampu memberikan saingan hebat dalam semua kategori yang disertai.
“Pada ketika ini kita punya semua pemain menunjukan semangat yang tinggi apabila bermain dengan pasukan yang lebih baik, kita memberikan tentangan yang cukup kuat, saya yakin sebab pada Sukan SEA di Thailand ini, tuan rumah tidak membenarkan pemain naturalisasi bermain, jadi kita ada peluang sedikit.” kata beliau selepas majlis pecah tanah MABA Suitez @ KL City Centre, di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan skuad bola keranjang kebangsaan membuat persiapan rapi termasuk menjalani latihan serta menyertai kejohanan di China, Taiwan dan Filipina sebelum ini.
Tambahnya, bonus lumayan menanti para pemain negara sekiranya mereka berjaya menepati sasaran pingat yang diletakkan MABA di Thailand.
Malaysia hanya berjaya membawa pulang satu pingat gangsa pada Sukan SEA 2023 menerusi skuad wanita dalam acara 5x5.
Thailand menawarkan empat emas bagi saingan bola keranjang pada Sukan SEA kali ini meliputi acara 3x3 dan 5x5, masing-masing bagi lelaki dan wanita.