fb fb fb fb fb

Whitecaps tempah aksi final Piala MLS, tumpaskan San Diego

Foto REUTERS

SAN DIEGO, 30 November – Vancouver Whitecaps mara ke final Piala MLS buat pertama kali dalam sejarah kelab selepas menewaskan San Diego FC 3-1 pada aksi Western Conference Final, awal pagi Sabtu.

Penyerang Brian White menjadi watak utama dengan dua gol pada separuh masa pertama, jaringan pertamanya sejak pulih daripada kecederaan yang menjejaskan aksinya sejak September.

Satu lagi gol Whitecaps hadir melalui jaringan sendiri penjaga gol San Diego, Pablo Sisniega selepas tekanan berterusan daripada Ali Ahmed.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan pemain gantian, Hirving Lozano, pada minit ke-60.

Harapan San Diego semakin pudar apabila Sisniega dilayangkan kad merah pada minit ke-79 kerana menggagalkan peluang gol yang jelas.

Kemenangan itu menyaksikan Whitecaps bakal berkunjung ke gelanggang Inter Miami pada Sabtu depan bagi memburu kejuaraan MLS pertama buat kedua-dua pasukan.

Ia juga mengulangi pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara Concacaf April lalu, yang dimenangi Whitecaps 5–1 secara agregat.

Whitecaps menunjukkan aksi cemerlang pada babak pertama dengan rangkaian gerakan menarik antara Andres Cubas dan Ahmed, termasuk bantuan tepat Cubas untuk gol pembukaan White seawal minit kelapan.

Cubas sekali lagi memainkan peranan penting apabila mencipta gerakan yang membawa kepada gol kedua, diikuti hantaran cantik Ahmed untuk melengkapkan gol kedua Whitecaps pada masa kecederaan babak pertama.

San Diego, selaku pilihan pertama, tetap mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat kemaraan paling jauh oleh pasukan baharu MLS sejak Chicago Fire menjuarai Piala MLS pada 1998. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN