fb fb fb fb fb

SUKAN SEA 2025: Kombinasi pemain berpengalaman, muda jadi sandaran MTBC

Pemain boling muda dan berpengalaman bakal jadi sandaran MTBC pada Sukan SEA 2025 / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 27 Ogos - Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) bakal mempertaruhkan kombinasi pemain berpengalaman dan bakat muda bagi menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Presiden MTBC, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata pendekatan itu diyakini mampu memberi keseimbangan skuad negara dalam memburu pingat pada temasya dwi tahunan berkenaan.

“Apa yang kita cadangkan adalah barisan terkuat melibatkan pemain berpengalaman dan pemain muda. Kita yakin pasukan yang disenaraikan mampu membawa pulang kejayaan,” katanya pada majlis penutup Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia Ke-22 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, hari ini.

Mengulas prestasi skuad remaja negara pada kejohanan itu, beliau mengakui tuah tidak memihak kepada Malaysia yang menamatkan cabaran dengan kutipan satu emas, satu perak dan empat gangsa.

Bagaimanapun, Mohammed Najeeb percaya pencapaian itu akan menjadi pengalaman berguna buat pemain muda negara untuk memperbaiki prestasi menjelang kejohanan seterusnya.

Pada kejohanan Asia itu, emas tunggal negara hadir menerusi acara doubles lelaki hasil gandingan Ethan Damien Goh dan Muhammad Aiman Syahin. - BERNAMA

ZAZALI JAMIAN