fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Hoe Yean jadi sandaran utama MAS buru emas di Thailand

Atlet renang negara, Khiew Hoe Yean berpotensi meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 OGOS - Atlet renang negara, Khiew Hoe Yean kekal menjadi sandaran skuad renang negara untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Timbalan Presiden Akuatik Malaysia (MAS), Marilyn Chua berkata, Hoe Yean berpotensi mencipta kecemerlangan dalam acara 200 meter (m) dan 400m gaya bebas pada temasya dwitahunan itu.

Beliau turut memaklumkan harapan juga disandarkan kepada pasukan lelaki dan wanita dalam usaha mengekalkan pencapaian podium.

"Sudah pasti Khiew Hoe Yean merupakan pemain utama dan tonggak harapan dalam acara renang. Kami sememangnya bergantung kepadanya dan pada masa yang sama turut menaruh harapan kepada acara-acara renang berpasukan sama ada lelaki mahupun wanita, untuk meraih kedudukan podium.

"Sebenarnya, kami telah memulakan semula dari awal, dan ia merupakan satu proses jangka panjang. Usaha-usaha yang telah kami laksanakan dalam dua tahun kebelakangan ini dijangka membuahkan hasil dalam tempoh lapan hingga sepuluh tahun akan datang. Jadi, dengan kumpulan perenang yang ada sekarang, kami akan lakukan yang terbaik bersama barisan jurulatih baharu kami," katanya.

Pada Sukan SEA 2025, MAS bakal menghantar seramai 27 perenang, termasuk enam atlet terjun, 17 atlet renang artistik, 14 pemain polo air, dan lima atlet renang perairan terbuka.
##

ZAZALI JAMIAN