NEW DELHI, 27 Ogos - Bola sepak India berisiko digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
Dua badan induk bola sepak antarabangsa itu menuntut agar Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) menguatkuasakan perlembagaan baharu selewat-lewatnya pada 30 Oktober ini atau berdepan tindakan penggantungan.
Satu kenyataan rasmi juga telah dihantar oleh FIFA dan AFC kepada Presiden AIFF, Kalyan Chaubey, bagi menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan berterusan bola sepak India berhubung isu tersebut.
"Kegagalan untuk memenuhi jadual ditetapkan akan menyebabkan kami tiada pilihan lain selain merujuk perkara ini kepada badan membuat keputusan FIFA yang berkenaan agar pertimbangan dan keputusan," kata kenyataan tersebut.
Sekiranya digantung, pasukan kebangsaan dan kelab dari India akan dilarang daripada menyertai sebarang pertandingan antarabangsa.
FIFA sebelum ini pernah menggantung India pada Ogos 2022 kerana campur tangan pihak ketiga.
Penggantungan tersebut kemudiannya ditarik balik beberapa hari kemudian, sekali gus membuka laluan kepada pemilihan Chaubey sebagai presiden.
Media tempatan turut melaporkan Liga Super India (ISL) berdepan kemungkinan dibubarkan susulan pertikaian antara AIFF dan rakan kongsi komersialnya. - AFP