fb fb fb fb fb

ESBK 2025: Qabil Irfan tekad pertahan kedudukan pendahulu

Qabil Irfan (tengah) ketika ini mendahului kedudukan keseluruhan Espana Superbike Championship (ESBK) 2025 dengan berbaki dua pusingan/Foto ZK Racing

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Pelumba muda negara, Qabil Irfan, tekad mempertahankan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan saingan Espana Superbike Championship (ESBK) 2025 menjelang pusingan kelima hujung minggu ini di Circuit de Navarra.

Qabil yang kini unggul dengan empat kemenangan dan tiga kali naib juara, mendahului carta keseluruhan dengan kelebihan 49 mata mengatasi pencabar terdekat, Izan Rodriguez dari Sepanyol.

Pada pusingan keempat di litar sama sebelum ini, pelumba berusia 16 tahun itu cemerlang menjuarai perlumbaan satu sebelum menamatkan perlumbaan dua di kedudukan keempat.

"Kebanyakan pelumba kini sudah mengetahui strategi saya yang biasanya menyerang pada pusingan terakhir, jadi untuk pusingan kelima ini saya akan cuba mengubah strategi tersebut.

"Buat masa ini saya masih mendahului kedudukan keseluruhan, dan saya akan berusaha untuk mengekalkannya sehingga ke pusingan akhir nanti,” katanya.

Perlumbaan hujung minggu ini bakal berlangsung di litar sepanjang 4.313 kilometer dengan 17 selekoh teknikal yang mencabar.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD