fb fb fb fb fb

Ameer miliki basikal sendiri, sedia hadapi Sukan SEA Thailand

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan pelumba negara, Ameer Ahmad Kamal sudah memiliki kelengkapan mencukupi.

Pengerusi Biro Lebuh Raya PKBM, Azman Abu Samah berkata, ini sekali gus memastikan isu berkaitan penggunaan basikal ujian masa tidak akan timbul menjelang Sukan SEA di Thailand pada Disember nanti.

"Kami telah mengadakan perbincangan dan mencapai kata sepakat bahawa tiga pelumba daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) serta seorang pelumba daripada skuad kebangsaan akan menyertai acara ujian masa berpasukan lelaki.

"Pelumba kebangsaan, Ameer Ahmad Kamal, memang memiliki basikal sendiri, dan namanya turut tersenarai dalam senarai panjang bagi saingan lebuh raya. Beliau juga pernah memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2017," katanya dalam sidang media PKBM semalam.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus memaklumkan, basikal milik pasukan itu tidak boleh digunakan oleh pelumba skuad kebangsaan yang bukan daripada TSG.

Tiga lagi pelumba dari pasukan TSG yang akan menyertai skuad tersebut ialah Muhammad Nur Aiman Rosli, Mohamad Nur Aiman Zariff, dan Wan Abdul Rahman Hamdan.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD