KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub telah menghantar surat rasmi peletakan jawatan Presiden, sekali gus mengundurkan diri daripada kepimpinan badan induk itu.
Jawatankuasa Eksekutif FAM yang bermesyuarat dalam Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025-2029 hari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya menerima keputusan itu selepas dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi.
Mesyuarat tersebut turut merakamkan penghargaan atas sumbangan dan dedikasi Datuk Joehari yang mula menyertai FAM sebagai Naib Presiden pada 2017 sebelum dipilih sebagai Presiden pada 15 Februari 2025.
Mengikut Artikel 42 Perenggan 7 Statut FAM, jawatan Presiden yang kosong akan diganti Timbalan Presiden paling lama berkhidmat sehingga Kongres tahun hadapan yang akan memilih Presiden baharu untuk baki penggal.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM sebulat suara menamakan Datuk Wira Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta.