KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Ratu wushu negara, Tan Cheong Min mengakui bakal berdepan cabaran lebih sukar pada Sukan SEA 2025 di Thailand susulan tiga acara kegemarannya; Nanquan, Nandao dan Nangun digabungkan menjadi satu acara individu.
Pemenang dua pingat emas di Kemboja 2023 itu berkata, perubahan format berkenaan dijangka meningkatkan saingan, namun beliau tetap bertekad mengekalkan dominasi Malaysia dalam sukan wushu di rantau ini.
“Di Kemboja saya dapat dua emas, satu bagi acara Nanquan dan satu lagi hasil gabungan Nandao serta Nangun. Memang sangat mencabar sebab semua negara Asia Tenggara sangat kuat dan masing-masing berpeluang untuk naik podium dan rebut emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah di Majlis Sukan Negara, hari ini.
Cheong Min memaklumkan fokusnya kini tertumpu kepada memperkemas rutin serta memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti selepas Kejohanan Wushu Dunia baru-baru ini, sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.
Persekutuan Wushu Malaysia sebelum ini menyasarkan satu pingat emas pada temasya di Thailand, dengan harapan utama tetap disandarkan kepada Cheong Min.