fb fb fb fb fb

Ronaldo sasar catat 1,000 jaringan, belum fikir untuk bersara

Cristiano Ronaldo/ REUTERS

OEIRAS, 9 Oktober - Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo memberi bayangan bahawa beliau belum berhasrat menggantung but dalam masa terdekat apabila menetapkan sasaran peribadi untuk mencapai 1,000 gol sepanjang kariernya.

Bercakap pada Majlis Anugerah Portugal Football Globes di Lisbon, penyerang yang kini beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr itu, menegaskan beliau masih memiliki semangat dan keghairahan tinggi terhadap bola sepak.

"Saya masih mempunyai semangat untuk terus bermain. Keluarga saya kata sudah tiba masa untuk berhenti dan mereka tanya mengapa saya mahu mencapai 1,000 gol sedangkan saya sudah menjaringkan 900 lebih. Tetapi saya tidak melihatnya begitu," katanya.

Ronaldo menambah, selagi masih mampu memberi sumbangan kepada kelab dan pasukan kebangsaan, beliau akan terus beraksi di padang.

"Saya masih mampu menghasilkan sesuatu yang baik, membantu kelab dan pasukan kebangsaan. Jadi mengapa perlu berhenti? Saya yakin apabila tiba masa untuk bersara, saya akan melangkah dengan kepuasan kerana telah memberikan segala-galanya. Saya tahu tidak banyak masa yang tinggal, jadi baki masa ini perlu saya nikmati sepenuhnya," ujarnya lagi.

Kapten Portugal itu kini telah mengumpul 946 gol di peringkat kelab dan antarabangsa sepanjang karier gemilangnya bersama kelab-kelab utama seperti Real Madrid, Manchester United dan Juventus, selain menjuarai pelbagai trofi utama.

Ronaldo berpeluang menambah koleksi jaringannya bersama skuad kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 minggu ini, apabila Portugal — selaku juara bertahan UEFA Nations League — bakal melayan kunjungan Ireland dan Hungary di Lisbon, masing-masing pada Sabtu (11 Oktober) dan Selasa (14 Oktober).- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI