fb fb fb fb fb

Conceicao dilantik Ketua Jurulatih Al-Ittihad hingga 2028

Sergio Conceicao/ REUTERS

RIYADH, 9 Oktober - Juara bertahan Liga Pro Saudi Al-Ittihad mengumumkan pelantikan jurulatih dari Portugal, Sergio Conceicao, sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu dengan kontrak sehingga tahun 2028, menggantikan Laurent Blanc yang meninggalkan kelab berkenaan bulan lalu.

Pengumuman rasmi dibuat menerusi hantaran video di platform X yang menampilkan Conceicao.

"Saya Sergio Conceicao, saya datang untuk mencipta sejarah bersama Al-Ittihad," katanya.

Blanc sebelum ini meninggalkan pasukan hanya sehari selepas kekalahan 2-0 kepada Al-Nassr pada hujung September, yang menyaksikan Al-Ittihad — selaku juara bertahan — tergelincir ke tangga ketiga liga.

Sepanjang tempoh peralihan, pasukan dikendalikan sementara penolong jurulatih Hassan Khalifa, dengan bantuan jurulatih bawah 21 tahun, Ivan Carrasco.

Conceicao sebelum ini pernah mengendalikan AC Milan, namun dipecat pada 29 Mei lalu selepas musim mengecewakan dalam saingan Serie A, apabila kelab itu sekadar menamatkan saingan di tangga kelapan dan gagal layak ke pentas Eropah buat kali pertama sejak 2019.

Beliau menyertai Milan pada Disember lalu dan mencipta impak awal apabila berjaya menghadiahkan pasukannya kejuaraan Piala Super Itali (Italian Super Cup) dalam hanya perlawanan keduanya selaku pengendali.

Pelantikan Conceicao dilihat sebagai langkah strategik pengurusan Al-Ittihad untuk memulihkan prestasi pasukan serta mengembalikan reputasi selaku juara bertahan Liga Pro Saudi- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI