fb fb fb fb fb

Salah ledak dua gol, Mesir sah ke Piala Dunia 2026

Mohamed Salah/ AFP

JOHANNESBURG, 9 Oktober - Bintang Liverpool, Mohamed Salah, meledak dua gol bagi membantu Mesir menewaskan Djibouti 3-0 di Casablanca, sekali gus mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026.

Penyerang berusia 33 tahun itu kini mengumpul sembilan gol dalam kempen kelayakan yang panjang sejak dua tahun lalu. Kemenangan tersebut memastikan Mesir memiliki kelebihan lima mata di puncak Kumpulan A dengan hanya satu perlawanan berbaki.

Salah, yang pernah dinobatkan Pemain Terbaik Afrika sebanyak dua kali, turut membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu — kejuaraan ke-20 kelab itu, di samping merangkul Anugerah Kasut Emas dengan 29 gol.

Namun musim ini, Salah sedikit bergelut bersama Liverpool selepas hanya menjaringkan tiga gol dalam sembilan perlawanan di semua kejohanan.

Dalam aksi menentang Djibouti, Ibrahim Adel membuka jaringan seawal minit ke-8, sebelum Salah menambah dua gol — masing-masing pada minit ke-14 dan ke-84 — untuk melengkapkan kemenangan bergaya skuad The Pharaohs.

Mesir, merupakan tujuh kali juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), kini melakar sejarah baharu apabila layak ke Piala Dunia buat kali kelima, selepas edisi 1934, 1990, 2018 dan kini 2026.

Sementara itu, di Meknes, bekas pemain tengah Arsenal Thomas Partey menjaringkan satu gol ketika Ghana membelasah Republik Afrika Tengah 5-0, sekali gus hanya memerlukan satu mata dalam aksi terakhir menentang Komoros untuk layak ke Piala Dunia.

Turut mencatat nama sebagai penjaring buat Black Stars ialah Mohammed Salisu, Alexander Djiku, kapten Jordan Ayew (minit ke-71) dan Kamaldeen Sulemana, dengan Ghana mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Di Tripoli, Cape Verde bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Libya 3-3, sekali gus menghampiri penampilan sulung di Piala Dunia.

Negara pulau kecil yang terletak di pesisir Senegal itu akan menduduki tangga teratas Kumpulan D sekiranya menewaskan Eswatini di Praia, Isnin ini.

Dikenali sebagai Blue Sharks, Cape Verde kini mengumpul 20 mata selepas sembilan perlawanan, dua mata di hadapan Cameroon yang menewaskan Mauritius 2-0 di Saint-Pierre, dengan penyerang Manchester United, Bryan Mbeumo, turut meledak gol.

Cameroon yang kini menghuni tangga kedua, pernah membuat lapan penampilan di Piala Dunia, rekod tertinggi dalam kalangan negara Afrika.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI