BEIJING, 8 Oktober - Beberapa bintang tenis dunia termasuk Iga Swiatek dan Holger Rune menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan cuaca panas melampau yang melanda kejohanan WTA dan ATP di China ketika ini.
Situasi itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan pihak penganjur mengenai keperluan mewujudkan peraturan khas berkaitan suhu panas (formal heat rule), susulan beberapa pemain terpaksa menarik diri daripada kejohanan Shanghai Masters minggu ini akibat suhu tinggi dan kelembapan ekstrem.
Pemain nombor dua dunia, Jannik Sinner, menamatkan saingan lebih awal selepas mengalami kekejangan otot paha kanan ketika menentang Tallon Griekspoor dalam pusingan ketiga pada Ahad.
Sementara itu, Novak Djokovic turut dilaporkan muntah ketika bertemu Yannick Hanfmann, manakala Rune pula kedengaran bertanya kepada pegawai pertandingan sama ada pemain perlu “mati di atas gelanggang” berikutan keadaan cuaca yang terlampau panas.
“Ia sama untuk semua pemain di gelanggang, tetapi memang sangat mencabar,” kata Djokovic selepas menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
“Ia lebih teruk apabila kelembapan melebihi 80 peratus hari demi hari, terutama bagi pemain yang beraksi pada waktu siang di bawah terik matahari,” tambahnya.
Beberapa pemain lain termasuk Casper Ruud, Tomas Machac, David Goffin, Terrence Atmane, Hamad Medjedovic dan Wu Yibing turut menarik diri daripada perlawanan pada pusingan awal akibat masalah kesihatan dan kecederaan.
Suhu direkodkan sekitar 30 darjah Celsius sepanjang pusingan awal dengan kadar kelembapan mencecah lebih 80 peratus.
Perbincangan mengenai pelaksanaan peraturan haba pernah timbul Ogos lalu di Cincinnati selepas pemain Perancis, Arthur Rinderknech, rebah di gelanggang akibat cuaca panas sebelum menyerahkan kemenangan kepada Felix Auger-Aliassime.
Menurut peraturan semasa ATP, keputusan menangguhkan permainan akibat cuaca ekstrem terletak di bawah tanggungjawab penyelia kejohanan yang akan berunding dengan pasukan perubatan dan pihak berkuasa tempatan.
Dalam kenyataan kepada Reuters, ATP memaklumkan pasukan perubatannya sudah melaksanakan beberapa langkah perlindungan pemain ketika berdepan cuaca panas, namun bersedia untuk menilai semula dasar sedia ada.
Kejohanan WTA di Wuhan turut berdepan situasi sama apabila semua aksi di gelanggang luar terpaksa digantung pada Isnin disebabkan keadaan cuaca yang terlampau panas.
Pada Selasa, pemain Britain, Emma Raducanu, pula terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 6-1, 4-1 kepada Ann Li selepas menjalani pemeriksaan tekanan darah di tepi gelanggang dengan suhu mencecah hampir 35 darjah Celsius.
Raducanu kemudian memuat naik tangkap layar suhu 34 darjah Celsius di telefon bimbitnya menerusi media sosial.
Sementara itu, juara bertahan, Aryna Sabalenka terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan pemain Slovakia, Rebecca Sramkova 4-6, 6-3, 6-1 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di pusingan ketiga hari ini.
Pemain nombor satu dunia itu bermula perlahan dalam perlawanan pertamanya sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat bulan lalu, namun kembali menunjukkan permainan bertenaga pada set penentuan untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Di pusingan seterusnya, pemain Belarus itu akan berdepan pilihan ke-16 dari Rusia, Liudmila Samsonova, dalam usahanya memburu kejuaraan keempat berturut-turut di Wuhan dengan rekod sempurna 18 kemenangan tanpa kalah.
Bagi pemain pilihan ketiga, Coco Gauff, tiada masalah besar apabila mudah menewaskan pemain kelayakan Jepun, Moyuka Uchijima 6-1, 6-0 dalam masa hanya 51 minit. Ia merupakan kemenangan ke-18 Gauff di bumi China sejak 2023, paling banyak direkodkan mana-mana pemain WTA dalam tempoh itu.-REUTERS