fb fb fb fb fb

Estevao akui pengalaman di Chelsea bantu tampil yakin bersama Brazil

Pemain muda sensasi Brazil, Estevao Willian / AFP

SEOUL, 8 Oktober - Pemain muda sensasi Brazil, Estevao Willian mengakui pengalaman beraksi bersama Chelsea banyak membantunya menyesuaikan diri dengan skuad kebangsaan Brazil.

Penyerang berusia 18 tahun itu berkata, ilmu dan pengalaman yang diperoleh di kelab Liga Perdana Inggeris tersebut memberi kesan besar terhadap prestasinya bersama pasukan negara.

“Kalau saya berada di sini, ia sudah tentu hasil daripada kerja keras saya di Chelsea,” katanya pada sidang media di Seoul menjelang aksi persahabatan menentang Korea Selatan.

“Saya sangat gembira dapat mewakili skuad kebangsaan Brazil, satu penghormatan besar buat saya. Saya akan terus bekerja keras di sana supaya dapat kekal dipanggil ke pasukan ini pada masa akan datang.”

Sabtu lalu, Estevao muncul wira Chelsea apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membantu pasukannya menewaskan Liverpool 2-1 dalam aksi dramatik di Stamford Bridge, gol pertamanya bersama kelab itu.

“Gol itu sangat penting bagi saya dan keluarga, terutama dalam proses penyesuaian diri saya di England,” ujarnya. “Segala-galanya berbeza – negara, budaya, gaya hidup – tapi syukur saya dapat menyesuaikan diri lebih cepat daripada yang saya jangkakan. Masih belum sepenuhnya, tapi sudah jauh lebih baik. Saya sangat gembira dapat peluang beraksi untuk kelab besar di Eropah.”

Brazil dijadual menentang Korea Selatan dan Jepun dalam siri perlawanan persahabatan kali ini, dengan dua penyerang Real Madrid, Rodrygo dan Vinicius Jr kembali disenaraikan, manakala Neymar diketepikan akibat kecederaan paha.

Selain itu, pertahanan Real Madrid, Eder Militao turut dipanggil semula selepas pulih daripada kecederaan lutut jangka panjang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE