NEW DELHI, 8 Oktober - Pemenang pingat Olimpik India, Aman Sehrawat digantung daripada menyertai sebarang kejohanan gusti selama setahun selepas gagal mematuhi had berat badan pada Kejohanan Dunia bulan lalu, sekali gus menafikan peluangnya beraksi di Sukan Asia 2026.
Sehrawat, 22, yang meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, disingkirkan daripada saingan selepas didapati melebihi had berat badan sebanyak 1.7 kilogram bagi kategori 57 kilogram gaya bebas lelaki pada aksi pembukaannya di Zagreb, Croatia.
Persekutuan Gusti India (WFI) dalam kenyataan memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa mulai 23 September lalu, yang bermakna Sehrawat tidak akan menyertai Sukan Asia di Jepun pada September 2026.
“Kegagalan mematuhi standard yang ditetapkan, khususnya dalam pengurusan berat badan, bukan sahaja menjejaskan kredibiliti peribadi anda, malah mencemarkan imej negara di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan WFI pada Selasa.
Pada Sukan Olimpik Paris sebelum ini, ahli gusti India, Vinesh Phogat turut disingkirkan selepas melebihi had berat badan hanya 100 gram sebelum aksi final kategori 50 kilogram gaya bebas wanita.-AFP