LAOS, 8 Oktober - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan pasukannya tidak terjejas dengan isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang sedang berdepan tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut pengendali dari Australia itu, fokus utama kini adalah memastikan skuad negara mengekalkan momentum cemerlang menjelang pertemuan menentang Laos dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Vientiane, esok.
"Ya, perkara ini memang di luar kawalan kami. Kami hanya memberi tumpuan kepada apa yang berlaku dalam kem pasukan. Saya faham situasi yang sedang berlaku, tetapi ia di luar bidang kami dan tiada kaitan dengan pasukan.
"Buat masa ini, kami hanya fokus sepenuhnya terhadap perlawanan menentang Laos dan menyalurkan semua tenaga untuk persediaan menghadapi lawan yang sukar." katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Cklamovski berkata, Harimau Malaya kini dalam semangat terbaik selepas menewaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0 sebelum ini, sekali gus mendahului kumpulan F.
Mengulas mengenai Laos yang berada di ranking ke-185 dunia, dia tetap menganggap perlawanan itu tidak mudah dan menuntut pemain mengekalkan tumpuan sepanjang 90 minit.
Terdahulu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM serta menggantung tujuh pemain warisan Harimau Malaya selama 12 bulan selepas didakwa terbabit dalam pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.