LONDON, 8 Oktober - Pemain tengah England, Jordan Henderson menepis kritikan terhadap pemilihannya dalam skuad kendalian Thomas Tuchel, menegaskan dia bukan sekadar “penyokong tepi padang” tetapi masih beraksi pada tahap tertinggi.
Henderson, 35, tidak beraksi bersama skuad kebangsaan selama 16 bulan sebelum dipanggil semula pada Mac lalu sebagai sebahagian daripada skuad pertama diumumkan oleh Tuchel, yang menyifatkannya sebagai “pemenang sejati” dengan kepimpinan yang tinggi di dalam pasukan.
Sejak itu, bekas kapten England itu telah membuat empat penampilan antarabangsa dan turut disenaraikan bagi perlawanan persahabatan menentang Wales serta aksi kelayakan Piala Dunia menentang Latvia. Henderson berkata beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberikan di atas padang.
“Saya sudah tunjukkan apa yang saya mampu lakukan bersama England selama ini dan saya masih bermain pada tahap yang tinggi. Orang luar boleh fikir apa saja, media atau siapa pun,” katanya kepada pemberita.
“Bagi saya, yang paling penting ialah pandangan pengurus, staf kejurulatihan dan rakan sepasukan. Kalau saya sekadar ‘cheerleader’, saya rasa salah satu pengurus terbaik di Eropah tidak akan pilih saya hanya untuk itu. Saya berada di sini untuk beraksi, sama ada dalam latihan atau ketika bermain. Tugas utama saya ialah beraksi untuk pasukan dan membantu rakan sepasukan.”
Henderson kembali ke Liga Perdana Inggeris musim ini selepas dua tahun meninggalkan Liverpool pada 2023 untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq, perpindahan yang menerima kritikan hebat dan hanya bertahan enam bulan sebelum beliau berpindah ke Ajax Amsterdam.
Mengulas mengenai dua tahun penuh cabaran dalam kariernya, Henderson berkata: “Kalau anda tanya mana-mana pemain yang meninggalkan kelab tempat mereka beraksi sekian lama, bukan hanya Liverpool... mereka pasti akan mengatakan ia bukan sesuatu yang mudah.”
“Seiring masa berlalu, banyak perkara berubah dan kita perlu teruskan kehidupan. Namun, saya akui, itu mungkin tempoh paling sukar dalam karier saya. Jika melihat kembali, mungkin saya akan membuat keputusan yang berbeza, tetapi setiap keputusan itu ada sebabnya dan bukan dibuat secara terburu-buru. Akhirnya, semua pengalaman itu menjadikan saya lebih kuat.”-REUTERS